JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh reputasi akademiknya di peringkat global menerusi penarafan terkini QS World University Rankings by Subject 2026.
UTM dalam satu kenyataan memberitahu, pencapaian itu yang diterbitkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) secara keseluruhan menunjukkan peningkatan amat menyakinkan berbanding tahun sebelumnya.
“Ia terbukti berdasarkan kepada pencapaian Broad Subjects iaitu Engineering and Technology iaitu daripada 102 kepada 86, Natural Sciences (daripada 227 kepada 197), Social Sciences & Management (daripada 249 kepada 209) dan Arts & Humanities (daripada 316 kepada 257).
“Dalam edisi terkini penarafan tersebut juga memperlihatkan, Petroleum Engineering dan Architecture/Built Environment terus perbaiki kedudukan berada dalam kelompok Top 50 dunia, sekali gus mengekalkan kedudukan UTM sebagai antara institusi terkemuka dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi,” maklum kenyataan itu hari ini.
Jelas UTM, peningkatan itu memperlihatkan Petroleum Engineering kini berada pada kedudukan ke 36 berbanding 46 pada tahun sebelumnya di samping Architecture/Built Environment kini berada pada kedudukan ke 50 dari 51–100.
Di peringkat nasional menurut kenyataan itu, UTM terus mengungguli pencapaian edisi kali ini apabila empat subjek berada di kedudukan pertama di Malaysia iaitu:
● Architecture/Built Environment
● Mineral & Mining Engineering
● Civil & Structural Engineering
● Chemical Engineering
Turut membanggakan juga adalah dominasi bidang kejuruteraan lain merangkumi:
● Electrical & Electronic Engineering – nombor dua di Malaysia
● Engineering & Technology – nombor dua di Malaysia
● Petroleum Engineering – nombor tiga di Malaysia
Selain itu, beberapa bidang lain turut menunjukkan prestasi cemerlang apabila berada dalam kelompok Top 100 dunia, antaranya Electrical & Electronic Engineering (77), Chemical Engineering (83), Civil & Structural Engineering (51–100) dan Mineral & Mining Engineering (51–100).
Bidang Computer Science & Information Systems (130), Mechanical, Aeronautical & Manufacturing Engineering (117), Chemistry (184), Environmental Menginovasi Penyelesaian Lestari Sciences (115) dan Material Science (113) pula terus memperbaiki kedudukan dengan berada dalam Top 200 dunia.
Naib Canselor UTM, Prof Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi serta kerjasama strategik dengan rakan industri dan institusi antarabangsa.
Menurut beliau, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha kolektif warga universiti termasuk para pensyarah, penyelidik, pelajar, alumni serta rakan kolaborasi global yang sentiasakomited dalam mempertingkat kualiti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.
“Pencapaian ini juga selari dengan aspirasi UTM Ascend 2030 untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti teknologi bertaraf global yang memacu inovasi, penyelidikan dan pembangunan bakat bagi menyokong pembangunan negara sertakesejahteraan masyarakat sejagat,” tambah kenyataan itu.
UTM komited untuk terus mempertingkatkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan selaras visinya untuk menjadi universiti teknologi global yang unggul dalammenghasilkan penyelesaian inovatif dan lestari untuk cabaran masa hadapan.- MalaysiaGazette
















