KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan beberapa individu disyaki terbabit dalam kejadian bermain mercun dari dalam kereta yang sedang bergerak di kawasan Bukit Jelutong, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian itu dilaporkan kepada polis kira-kira jam 12.48 tengah hari tadi selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Beliau yang mengesahkan kejadian itu berkata, ia berlaku di kawasan Elmina Rainforest, Persiaran Ficus Seksyen U15 Shah Alam.
“Siasatan mendapati, rakaman video berdurasi 50 saat itu menunjukkan kejadian pada waktu malam.
“Suspek lelaki terbabit melepaskan beberapa das tembakan mercun ke udara ketika sedang berdiri melalui cermin ‘sunroof’ kereta yang dipercayai dipandu individu lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM 2,000.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM 10,000 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 2007 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun jika disabitkan dengan mana-mana kesalahan itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut ,boleh hubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 01117554394 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















