Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga China ditahan selepas dipercayai merakam video seorang lelaki lain di dalam tandas pusat membeli-belah di Bukit Jalil, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 1.28 tengah hari susulan laporan mangsa.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi apabila pengadu yang berada di tandas lelaki di tingkat empat premis berkenaan menyedari dirinya dirakam menggunakan telefon bimbit dari tandas sebelah.

“Susulan laporan itu, polis menahan seorang lelaki warga China berusia lingkungan 20-an dan merampas telefon bimbit miliknya,” katanya dalam kenyataan lewat petang ini.

Beliau juga mendedahkan, pemeriksaan awal ke atas telefon tersebut menemukan beberapa video lucah dalam simpanan.

“Suspek mengaku terlibat dan kini direman selama 14 hari bermula 27 Mac hingga 9 April untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan masih berjalan,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast