Ketua Cawangan Pemerkasaan Sahsiah, Jabatan Modal Insan , TH, Shahrul Azam (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan tunai dan kotak infaq kepada penerima (Ustaz Zahari Ismail, Bekas Pengajar Al Quran) di Flat Sri Perlis, Jalan Datuk Keramat. Sumbangan wang tunai dan kotak infaq disumbangkan kepada Pusat Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, Kuala Lumpur. Gambar: Ihsan TH.

KUALA LUMPUR – Program Infaq Ramadan anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama masjid dan surau TH berjaya mengumpul lebih RM270,000 serta mengagihkan lebih 900 kotak infaq sepanjang Ramadan 1447H/2026M, sekaligus memberi manfaat kepada pelbagai golongan memerlukan di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Program tahunan itu merangkumi pelbagai aktiviti kebajikan dan pengisian rohani termasuk penyaluran sumbangan kepada institusi pendidikan Islam, pusat kebajikan anak yatim, warga emas, golongan asnaf, Orang Kurang Upaya (OKU) serta saudara baharu (muallaf).

Sebahagian dana dan kotak infaq berkenaan adalah hasil sumbangan warga TH sendiri.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, program yang dilaksanakan sejak 2022 itu menjadi platform penting untuk menggalakkan penglibatan warga TH dalam aktiviti kebajikan di samping mengeratkan ukhuwah bersama masyarakat.

“Program Infaq Ramadan ini merupakan platform penting untuk menyemarakkan semangat kongsi rezeki serta menyantuni golongan yang memerlukan khususnya dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

“Ramadan adalah waktu terbaik untuk meningkatkan amalan kebajikan dan memperkukuh hubungan sesama manusia. Melalui program ini, TH berharap dapat membantu meringankan beban golongan memerlukan di samping memupuk nilai keprihatinan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam usaha memperkukuh ukhuwah, TH turut menganjurkan Program Semarak Ihya’ Ramadan di masjid dan surau TH yang menampilkan pelbagai pengisian sepanjang bulan berkenaan seperti majlis berbuka puasa, tahlil arwah, solat tarawih dan moreh yang diadakan setiap hari serta mendapat sambutan menggalakkan.

Antara program yang mencuri perhatian ialah Majlis Berbuka Puasa “Road to Fitrah” di Dewan Besar TH yang dihadiri 120 saudara baharu dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Majlis tersebut turut diserikan dengan pengagihan duit raya dan kotak infaq, selain menyaksikan satu majlis syahadah melibatkan individu bukan Islam yang memeluk agama Islam.

Mustakim (tiga dari kiri) menyaksikan acara Syahadah yang disempurnakan oleh Ketua Cawangan Pemerkasaan Sahsiah, Jabatan Modal Insan Shahrul Azam.

Selain itu, TH turut menganjurkan pelbagai pengisian rohani seperti Program Ambang Ramadan, Kapsul Ramadan mingguan, Majlis Khatam Al-Quran serta TH Quran Hour yang melibatkan 913 warga TH daripada 142 kumpulan tadarus.

Kumpulan tadarus ini telah memulakan bacaan seawal bulan Rejab menerusi pelancaran Program Rejab, Syaaban dan Ramadan (RSR) 2026.

Mustakim berkata, penganjuran program seumpama ini akan terus diperkukuh pada masa hadapan bagi memastikan TH kekal berperanan sebagai institusi Islam yang sentiasa menyantuni masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast