MELAKA – Wakil rakyat Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem merayu kepada semua kaum di kawasannya termasuk masyarakat India supaya tidak membiarkannya ‘berhutang’ kepada rakyat sebelum menamatkan penggal perkhidmatan yang berbaki enam bulan lagi.
Menurutnya, tempoh sebelum berakhir penggal ini bukanlah alasan untuk memperlahankan langkah di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diamanahkan rakyat selepas memenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November 2021.
Sebaliknya tegas Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri itu, ia menjadi dorongan terakhir untuk beliau menggandakan usaha demi memastikan setiap janji yang pernah diungkapkan kepada rakyat dapat direalisasikan.
“’Hayat’ saya sebagai wakil rakyat DUN Duyong penggal ini tinggal kurang lebih enam bulan lagi. Pastinya ada perkara yang mungkin belum saya selesaikan lagi, ada janji yang mungkin belum dipenuhi. Ingatkan saya, tegurlah saya.
“Kalau ia kuasa kerajaan Persekutuan, akan saya merayu. Kalau kuasa kerajaan negeri, akan saya kejar dan kalau ia amanah kuasa saya, akan saya laksana segera,” katanya dengan nada penuh tekad.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan MIC Duyong dan Seri Duyong, di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi MIC negeri V.P Shanmugam merangkap Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka.

Menurutnya lagi, beliau sentiasa membuka ruang seluas-luasnya kepada rakyat untuk menegur dan mengingatkan dirinya, kerana baginya suara rakyat adalah cerminan sebenar prestasi seorang pemimpin di lapangan.
“Saya tidak mahu meninggalkan Duyong pada penggal ini dengan rasa bersalah atau penyesalan kerana ada amanah yang tidak tertunai.
“Bantu saya tuan puan. Jangan biarkan saya berhutang penuh sesalan,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, setiap isu yang dibangkitkan rakyat, sama ada kecil mahupun besar, akan terus diberi perhatian sewajarnya dan disalurkan kepada pihak berkaitan sehingga menemui penyelesaian.
“Selagi diberi ruang dan peluang, saya akan terus berkhidmat sehabis baik kerana ini adalah amanah kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Beliau dalam masa sama berharap hubungan erat antara semua kaum di Duyong termasuk masyarakat India melalui MIC akan terus diperkukuh demi memastikan keharmonian dan pembangunan kawasan itu dapat dipacu bersama. – MalaysiaGazette
















