KUALA LUMPUR – Dua ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) yang dikaitkan dengan satu klip video tular kerana didakwa meminta ‘wang perlindungan’ dari sebuah pusat urut, telah ditahan polis.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, malam tadi.
Semalam, PKR mengarahkan kedua-dua individu itu meletakkan jawatan serta-merta daripada kedudukan mereka dalam Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan Azman Abidin berkata, peletakan jawatan itu bertujuan memudahkan siasatan oleh polis dan parti.
Terdahulu, Polis Kuala Lumpur mengesahkan menerima tiga laporan berhubung video tular yang memaparkan dakwaan dua individu dipercayai ahli MPP WP meminta wang perlindungan daripada sebuah pusat urut di Wangsa Maju.
Difahamkan, wang tersebut diminta sebagai balasan untuk mengelakkan tindakan terhadap premis berkenaan susulan aduan penduduk setempat.
Menurut pihak polis, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran kandungan. -MalaysiaGazette
















