Gambar hiasan. - Foto: FB Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengkaji cadangan memperkenalkan lesen harian kepada jurugambar sebagai langkah lebih praktikal dan anjal bagi membendung kegiatan ‘ulat foto’ di sekitar KLCC, sekali gus memastikan aktiviti fotografi dapat dikawal tanpa menjejaskan pengalaman pelancong.

Dalam satu kenyataan, DBKL memaklumkan mekanisme pelesenan itu dilihat sebagai pendekatan kawal selia lebih proaktif dalam menangani isu jurugambar tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan secara haram kepada pelancong.

Menurutnya, penguatkuasaan terhadap golongan terbabit dilaksanakan secara berterusan dan bukan bermusim, melibatkan pemantauan serta tindakan seperti amaran, kompaun dan sitaan terutama di kawasan tumpuan pelancong.

Bagaimanapun, DBKL mengakui masalah tersebut sukar dibanteras sepenuhnya berikutan permintaan berterusan daripada pelancong sendiri, sekali gus mendorong individu tidak berlesen untuk terus beroperasi.

Terdahulu, media melaporkan seramai 18 lelaki ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam rusuhan dan serangan di hadapan KLCC pada 22 Mac lalu, yang dikaitkan dengan pergaduhan membabitkan kumpulan ‘ulat foto’ di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, DBKL turut berdepan cabaran kerana aktiviti berkenaan mudah bergerak, menjadikan usaha penguatkuasaan secara menyeluruh lebih mencabar.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan berkenaan sedang memperkukuh pendekatan sedia ada termasuk cadangan pemasangan papan tanda peringatan di lokasi strategik bagi mengingatkan larangan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

Selain itu, penambahan kamera litar tertutup (CCTV) turut dipertimbangkan bagi meningkatkan pemantauan, di samping memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu berkenaan secara lebih berkesan.

DBKL turut menegaskan komitmennya untuk memastikan persekitaran bandar yang teratur, selamat dan berimej positif kepada pelawat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast