Foto: MPI

KUALA LUMPUR – Malaysian Press Institute (MPI) mempelawa wartawan di seluruh negara untuk menyertai Panggilan Penulisan Karya Kreatif bertemakan “Di Sebalik Tabir Kerjaya Wartawan”, sebagai usaha menghimpunkan pengalaman sebenar pengamal media dalam dunia kewartawanan.

Sekretariat MPI memaklumkan inisiatif itu bertujuan merakamkan pelbagai kisah, cabaran serta detik bermakna yang dilalui oleh wartawan sepanjang perjalanan kerjaya mereka, sekali gus mendokumentasikan sumbangan golongan itu kepada industri media dan masyarakat.

“Sebanyak 25 karya yang terpilih akan diterbitkan dalam sebuah buku khas yang dijadual dilancarkan sempena Malam Wartawan Malaysia 2026, sebagai usaha mendokumentasikan pengalaman dan sumbangan wartawan kepada industri media serta masyarakat.

“Penulis terpilih juga akan menerima sijil dan cenderamata khas sempena Malam Wartawan Malaysia 2026,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Antara syarat penyertaan ditetapkan ialah karya mestilah asli, belum pernah diterbitkan dan mempunyai panjang sekitar 3,000 patah perkataan, selain penyertaan juga perlu disertakan dengan gambar bersesuaian yang belum pernah diterbitkan.

Sehubungan itu, MPI berharap pihak pengurusan organisasi media dapat membantu menyebarkan hebahan itu kepada wartawan di bawah seliaan masing-masing agar lebih ramai pengamal media berpeluang menyumbang karya mereka.

Karya dan bahan berkaitan boleh dihantar melalui emel ke [email protected] bermula hari ini manakala tarikh tutup penghantaran pada 8 Mei depan. — BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast