Reaksi Penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo selepas mendengar keputusan pembelaan kes yang didakwa menghasut yang mendatangkan kebencian di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 30 MAC 2026

KUALA LUMPUR – Penulis blog, Papagomo dikenakan denda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan menghasut dengan niat menimbulkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 2024.

Hakim Norma Ismail menjatuhi hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Papagomo atau nama sebenarnya atau Wan Muhammad Azri Wan Deris, 43, di akhir kes pembelaannya.

“Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan hukuman denda RM4,000 dan jika gagal bayar dikenakan hukuman empat bulan penjara. Wang jaminan (RM15,000) dipulangkan,” kata Norma.

Selepas keputusan mahkamah itu, Wan Muhammad Azri yang memakai sut berwarna hitam dilihat bersalaman bersama isterinya yang turut hadir bersama dalam galeri awam itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman memohon mahkamah menjatuhi hukuman penjara yang sewajarnya terhadap tertuduh dengan mengambil kira dia bukan individu biasa dan merupakan bekas anggota polis.

“Dia sedar sebab dan akibat perbuatannya dengan menyebabkan kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong dalam Twitter, malah dia juga bukan pesalah muda, selain mempunyai pengetahuan undang-undang namun memilih untuk membuat hantaran sebegitu di media sosial.

“Undang-undang digubal demi menjaga ketentaraman awam dan hantaran yang dibuat berbentuk kata-kata kesat yang menghina terhadap Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, hukuman denda sahaja tidak memadai kerana ia tidak mencerminkan keseriusan kesalahan tertuduh,” jelasnya. 

Reaksi Penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo selepas mendengar keputusan pembelaan kes yang didakwa menghasut yang mendatangkan kebencian di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 30 MAC 2026

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Papagomo memohon mahkamah mengenakan hukuman denda dengan alasan anak guamnya merupakan bapa kepada lima anak.

“Anak guam saya memiliki lima orang anak yang mana anak bongsunya mengalami autism dan memerlukan anggota keluarga lelaki di dalam rumah.

“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira sepanjang perbicaraan bermula, anak guam saya telah memberikan kerjasama yang baik dan tidak pernah gagal untuk melapor diri di balai polis sebulan sekali pada setiap bulan.

“Anak guam saya juga tidak mempunyai kesalahan lampau bagi kes berkaitan hasutan. Ia merupakan kesalahan pertama dan saya mohon mahkamah mengenakan hukuman denda sahaja dan mengenakan keseragaman daripada segi hukuman,” kata peguam itu.

Pada 2 Mei 2024, Papagomo yang juga bekas Exco Pemuda UMNO mengaku tidak bersalah membuat penerbitan menghasut  berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menghadap Sultan Ibrahim di laman Twitter atau X miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, jam 12 tengah hari pada 29 April 2024, mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 24 September tahun lalu, Hakim Norma memerintahkan Wan Muhammad Azri membela diri terhadap pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sebelum ini, seramai tujuh saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan yang bermula Oktober 2024, manakala hanya Wan Muhammad Azri merupakan saksi pembelaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast