KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menempelak kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan enggan mendedahkan laporan hasil siasatan skandal Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Biro Politik MUDA berkata, perkara itu telah mencetuskan persoalan besar berhubung komitmen sebenar kerajaan dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.
“Laporan media antarabangsa, Bloomberg hari ini mendedahkan dakwaan mengenai kegagalan mendedahkan dokumen kritikal tersebut sekali gus dilihat bercanggah dengan prinsip ketelusan dan reformasi institusi yang dilaungkan pentadbiran semasa.
“Beberapa minggu lepas, Anwar sendiri berkongsi berkenaan laporan skandal Azam sudah siap dan sepatutnya terus dibentang di Kabinet.
“Namun sehingga ke hari ini, ia masih belum didedahkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas kenyataan itu lagi, kelewatan bukan sahaja mencetuskan keraguan, tetapi seolah-olah memberi gambaran wujud usaha untuk melindungi Azam.
“Dalam isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri, sebarang kelewatan bukan sahaja mencetuskan keraguan, malah terus menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi antirasuah negara.
“Lebih membimbangkan, timbul pula spekulasi Azam yang sedang berdepan pelbagai persoalan integriti dan skandal ini mungkin akan dilantik ke jawatan awam seperti senator.
“Seseorang yang sedang dikaitkan dengan isu integriti, salah guna kuasa dan dakwaan berkaitan rasuah tidak sepatutnya dipertimbangkan untuk sebarang pelantikan ke jawatan awam, apatah lagi ke Dewan Negara,” menurut kenyataan itu lagi.
Biro politik MUDA juga berkata, reformasi institusi tidak boleh sekadar menjadi slogan politik.
“Ia mesti dibuktikan melalui tindakan tegas, telus, dan konsisten, termasuk dalam kes melibatkan individu berprofil tinggi.
“Sehubungan itu, MUDA mendesak kerajaan segera mendedahkan sepenuhnya hasil siasatan berkenaan dan menuntut agar Azam direhatkan daripada jawatan sedia ada serta-merta.
“Kerajaan tidak boleh terus mempertahankan atau melengahkan pendedahan dalam isu ini tanpa menanggung implikasi besar terhadap kredibiliti sendiri.
“Jika Perdana Menteri memilih untuk terus melindungi Azam, maka yang dipertahankan bukan lagi integriti negara, tetapi kepentingan politiknya sendiri,” tegas MUDA. – MalaysiaGazette
















