GEORGE TOWN – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperuntukkan hampir RM4 bilion dalam tempoh dua bulan bagi membantu perniagaan usahawan tempatan susulan keadaan global yang mencabar.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, peruntukan itu merangkumi semua lapisan peniaga tanpa mengira saiz perniagaan.
“Saya diberi amanah mengemudi kementerian SME di saat yang genting ini.
“Dunia tengah berperang dan saya tahu, masa tidak menyebelahi kita. Itu sebabnya dalam masa dua bulan, saya telah mengumumkan hampir RM4 bilion untuk bantu perniagaan rakyat Malaysia.
“Tak kira peniaga kecil, penjaja atau usahawan SME, asalkan perniagaan orang Malaysia, saya bertekad untuk bantu semua dengan misi hebatkan perniagaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam perkembangan sama, Steven Sim berkata, seorang usahawan tempatan terkejut apabila permohonan pembiayaan sebanyak RM1 juta diluluskan dengan cepat.
“Encik Sim (takda pertalian keluarga dengan saya) terkejut apabila saya ziarah kilangnya, Seng Fatt Metal Manufacturing dan membawa berita baik bahawa permohonannya untuk pembiayaan Bank SME sebanyak RM1 juta sudah lulus.
“Dia tak sangka proses begitu cepat dan mudah. Sebagai usahawan, beliau menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila perniagaannya berkembang daripada sebuah rumah kedai kecil kepada tiga kilang pembuatan.
“Pekerjanya kebanyakan memang rakyat Malaysia termasuk Cina, Melayu dan India. Kilang ketiga baru nak siap, jadi beliau memang perlukan modal,” katanya. – MalaysiaGazette
















