KULAI – Seorang pemandu lori dengan muatan tepung maut selepas kemalangan dengan sebuah lori tangki di Kilometer 40.7, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.14 tengah hari itu, lori tangki terbabit terbakar 80 peratus selepas kemalangan dengan lori yang membawa muatan tepung tersebut.
Kemalangan tersebut mengakibatkan kesesakan sehingga tujuh kilometer kerana laluan ke utara terhalang sebelum laluan alternatif dibuka.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairil Buang berkata, seramai 16 anggota dari balai bomba terlibat digerakkan ke lokasi dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT).
“Pemandu lori tangki tanpa muatan berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat dan mengalami kecederaan.
“Bagaimanapun, pemandu lori yang membawa tepung didapati tersepit di tempat duduk pemandu.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Kebakaran berjaya dipadam menggunakan satu aliran salur bantu mula serta air tangki pam jentera sebelum operasi ditamatkan pada pukul 2.28 petang,” ujarnya.- MalaysiaGazette















