TANGKAP layar video tular kejadian seorang lelaki yang didakwa cuba merakam bahagian bawah skirt wanita.

KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan mangsa dan suspek berhubung hantaran tular yang mendakwa seorang lelaki merakam bahagian bawah skirt wanita di sebuah premis dalam pusat beli-belah di Subang Jaya, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video tular itu pukul 1.16 petang pada 29 Mac lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati, video tersebut telah ditularkan di platform media sosial Facebook dan Instagram.

“Siasatan sedang giat dijalankan bagi mengesan serta mengenal pasti mangsa dan suspek yang terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang video atau rakaman yang boleh menjejaskan maruah mangsa serta mengganggu siasatan pihak polis,” jelasnya.

Terdahulu, pengguna media sosial berkongsi video dan hantaran mendakwa seorang lelaki dilihat merakam gambar bahagian bawah skirt wanita sebelum cuba melarikan diri apabila menyedari kegiatannya itu disedari individu terbabit.

Lelaki berusia 30 hingga 40-an itu sempat ditahan dan berpura-pura memadam gambar sambil berdalih dengan mendakwa tidak mengambil gambar apabila individu terbabit meminta untuk melihat telefon lelaki itu.

“Masa itu gambar memang sudah tiada. Kami bersama kakitangan kedai minta tengok kamera litar tertutup (CCTV) dan memang sah dia (lelaki terbabit) ada curi ambil gambar, malah sangat jelas,” dakwanya dalam hantaran berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast