Tangkap layar video yang tular yang memaparkan Ratu Nur Puteri Ratu Balqis sedang melakukan 'solat' bersama ahli keluarganya.

JOHOR BAHRU – Wanita menggelarkan dirinya Ratu Nur Puteri Ratu Balqis yang mendakwa ‘dipinjamkan badan’ oleh malaikat’ turut mengakui dirinya dahulu Nabi Muhammad SAW.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pengakuan tersebut dan beberapa dakwaan dibuat menerusi beberapa klip video yang tular sejak Jumaat lalu.

Beliau memberitahu, video-video klip  tersebut didapati mengandungi ajaran menyimpang dan mengelirukan.

“Individu yang menggelarkan dirinya sebagai Ratu Nur Putri Ratu Balqis turut mendakwa dirinya sebagai ‘Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah’.

“Individu tersebut turut mengeluarkan kenyataan yang mempersendakan kemuliaan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, terdapat aduan berhubung penyebaran ajaran God, The Mother yang didakwa sesat melalui edaran bercetak kepada orang awam di AEON Mall, Kulai pada 26 Mac lalu.

Justeru katanya, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) melalui Mesyuarat Penuh MAINJ Kali Ke-293 yang berlangsung hari ini menegaskan, sebarang ajaran yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, aliran Asya’irah dan Al-Maturidiah wajib dibanteras.

Tindakan bersepadu antara Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan susulan Mesyuarat Membanteras Ajaran Menyimpang pada 30 Mac 2026 lalu.

Tindakan tegas berdasarkan undang-undang dan enakmen yang sedia berkuat kuasa di Johor akan dikenakan kepada mereka yang terlibat.

“Siasatan lanjut telah dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298, 500, 505(b) Kanun Keseksaan serta Enakmen Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan sebarang fahaman dan ajaran yang menyimpang sebaliknya hendaklah segera melaporkan ajaran tersebut kepada pihak berkuasa,” katanya.

Semalam polis membuka kertas siasatan berhubung satu hantaran video-video itu yang didakwa mengandungi unsur fitnah, penghinaan dan dakwaan tidak berasas terhadap Institusi Diraja Johor, pihak berkuasa dan agama Islam.

Mohd Fared berkata, hantaran tersebut berpotensi menjejaskan akidah umat Islam dan mengganggu ketenteraman awam.

Sebelum itu, seorang wanita mendakwa dirinya dipinjamkan badan oleh malaikat dan mempunyai pertalian dengan Nabi Muhammad SAW.

Akaun TikTok bernama @ratunurputriratubalqis memaparkan beberapa video menunjukkan wanita tersebut membuat beberapa kenyataan yang mengandungi unsur bertentangan dengan ajaran Islam.

Salah satu video berkenaan memaparkan wanita tersebut didakwa menjunjung al-Quran sambil mendakwa dirinya merupakan anak kepada Adam dan Hawa yang kononnya telah dihidupkan kembali.

Terdapat video dalam akaun tersebut turut menunjukkan wanita berkenaan didakwa mengakui kononnya merupakan guru kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis siasat Ratu Nur Puteri Ratu Balqis dakwa ‘dipinjamkan badan’ oleh malaikat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast