KUALA LUMPUR – Seramai 7,636 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada 57 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mencatat pencapaian cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025, termasuk 80 pelajar yang berjaya memperoleh keputusan semua A+.
Lebih membanggakan, keputusan keseluruhan MRSM mencatatkan Gred Purata Maktab (GPM) 2.067 dengan 100 peratus calon layak menerima sijil, sekali gus membuktikan institusi itu kekal sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebanyak lima MRSM turut berada dalam kelompok terbaik keseluruhan, mengatasi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah harian lain di seluruh negara.
Beliau berkata, pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukan MRSM sebagai penanda aras kecemerlangan pendidikan, khususnya dalam melahirkan pelajar luar bandar yang mampu bersaing di peringkat nasional dan global.
Dalam pada itu, kejayaan turut diraih pelajar Orang Asli apabila empat daripada mereka memperoleh keputusan 9A, manakala 114 pelajar mencatat keputusan sekurang-kurangnya 5A, meningkat berbanding 87 pelajar pada tahun lalu.
Katanya, pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama pelbagai agensi dalam memperkasa pendidikan komuniti tersebut agar mendapat peluang yang saksama.
Tambah beliau, hasil inisiatif berterusan kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar semakin mengecil sebanyak 0.04 mata berdasarkan Gred Purata Kebangsaan (GPK).
“Kementerian akan terus memperkukuh ekosistem pendidikan luar bandar dengan menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif bagi memastikan setiap pelajar dapat mencapai potensi terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelajar kini mempunyai pelbagai laluan pendidikan termasuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ujarnya, institusi seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Institut Kemahiran MARA dan GIATMARA menyediakan ruang lebih luas kepada pelajar meneroka potensi melalui ekosistem UP_TVET yang tersusun.
“TVET kini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi arus perdana dalam melahirkan tenaga kerja mahir, berpendapatan tinggi dan relevan dengan keperluan industri masa depan.
“Malah, pada tahun lalu, seramai 53.9 peratus lepasan SPM memilih laluan TVET,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon SPM 2025 dan mengingatkan bahawa keputusan yang diperoleh merupakan permulaan kepada perjalanan masa depan yang lebih besar.
“Saya yakin generasi ini akan menjadi pelakar perubahan dalam membina Malaysia yang lebih maju, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















