Dr. Mohd Azam Ahmad

PUTRAJAYA – Prestasi Bahasa Melayu direkodkan antara 29 daripada 95 mata pelajaran yang menunjukkan penurunan berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) dalam analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, manakala keseluruhan 63 mata pelajaran mencatat peningkatan dan tiga lagi kekal berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, bagi tujuh mata pelajaran teras, hanya tiga menunjukkan peningkatan prestasi, manakala empat lagi mencatatkan penurunan.

Menurutnya, Pendidikan Islam merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.79 mata kepada 3.20 berbanding 3.99 pada SPM 2024.

“Bahasa Melayu pula menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.13 mata iaitu kepada 3.85 pada SPM 2025 berbanding 3.72 pada tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM), hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azam berkata, bagi mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melibatkan Sains Tulen dan Matematik Tambahan, prestasi menunjukkan penurunan antara 0.02 hingga 0.15 mata.

Jelasnya, bagi 12 mata pelajaran elektif STEM melibatkan Sains Gunaan dan Teknologi pula, lapan mata pelajaran mencatat peningkatan prestasi.

“Mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 1.64 mata kepada 2.01 berbanding 3.65 pada 2024.

“Pengajian Kejuruteraan Awam pula mencatat penurunan sebanyak 0.25 mata, manakala Sains Komputer mengekalkan prestasi 3.63 mata seperti tahun sebelumnya,” katanya.

Tambah beliau, daripada 22 mata pelajaran elektif STEM melibatkan mata pelajaran vokasional (MPV), sebanyak 16 menunjukkan peningkatan, lima menurun dan satu kekal.

Ujarnya, bagi mata pelajaran elektif Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas pula, 11 daripada 12 mata pelajaran mencatat peningkatan prestasi, manakala satu menurun.

“Sementara itu, bagi mata pelajaran elektif Pengajian Islam, sembilan daripada 13 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, manakala empat lagi mencatat penurunan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast