KUANTAN – Seramai 671 atau 3.85 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 595 calon (3.51 peratus) pada 2024 di negeri ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Zamri Mat Isa berkata, mereka merupakan sebahagian daripada keseluruhan 17,429 calon yang menduduki peperiksaan SPM di negeri ini tahun lalu.
Menurutnya, Pahang turut mencatat gred purata negeri (GPN) 4.08 bagi SPM 2025 iaitu meningkat 0.15 berbanding 4.23 pada tahun 2024.
“Seramai 16,822 calon (96.52 peratus) layak menerima sijil SPM pada tahun 2025 berbanding 16262 calon (95.99 peratus) pada tahun 2024 yang menunjukkan peningkatan sebanyak 560 calon (0.53 peratus).
“Peningkatan ini merupakan pencapaian berdasarkan syarat pensijilan sejak diperkenalkan pada tahun 2013 yang mana calon wajib lulus bagi dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah untuk Layak Sijil SPM,” katanya ketika sidang media di Jabatan Pendidikan Pahang hari ini.
Tambahnya, seramai sembilan calon mendapat semua A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil, sekali gus menunjukkan peningkatan keseluruhan seramai 76 calon (0.34 mata).
Ujarnya, jurang pencapaian layak sijil SPM mengikut jantina juga merapat sebanyak 69.47 peratus pada tahun 2025, sekali gus mencerminkan keberkesanan pelaksanaan program serta motivasi berasaskan jantina yang dilaksanakan secara strategik di semua daerah.
Zamri berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang akan terus memperkukuh strategi dan komitmen untuk memastikan tiada murid yang tercicir dan setiap murid diberikan peluang untuk cemerlang, tanpa mengira latar belakang atau lokasi mereka.
“Kesemua pencapaian ini adalah hasil usaha gigih warga pendidik, pentadbir sekolah, pegawai pendidikan daerah dan negeri, serta sokongan padu daripada ibu bapa dan komuniti.
“Ini merupakan kejayaan bersama dan kita akan terus memperkasa setiap murid demi kecemerlangan pendidikan negara. – MalaysiaGazette
















