Sumber : Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2025 bagi negeri Pahang catat Gred Purata Negeri (GPN) 4.08 yang mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 merupakan pencapaian yang harus dibanggakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan itu adalah manifestasi kepada usaha berterusan, iltizam yang tinggi dan komitmen padu semua pihak dalam memastikan anak-anak Pahang mendapat pendidikan terbaik.

Secara keseluruhan, seramai 21,043 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2025 di negeri ini dengan 96.52 peratus calon berjaya memperoleh Layak Sijil, manakala seramai 671 calon pula berjaya memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

“Saya juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah atas pencapaian luar biasa yang ditunjukkan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang yang berjaya mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60, selain Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang terus mengekalkan kecemerlangannya dengan GPS 1.06.

“Tahniah juga diucapkan kepada 12 buah sekolah yang mencatat sekurang-kurangnya GPS 2.30 dan daripada 12 sekolah tersebut tiga daripadanya mencatatkan GPS 2.00 iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, Kuantan; Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tualang, Temerloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajah Kalsom, Kuantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sekolah-sekolah lain yang turut cemerlang antaranya Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriyah, Kuantan; Sekolah Menengah Agama Al Maarif, Kuantan; Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut dan Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub.

Justeru, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh calon SPM 2025, para guru, ibu bapa, pentadbir sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang, Yayasan Pahang, serta semua pihak yang telah memainkan peranan besar dalam melakar kejayaan ini.

“Sesungguhnya, pencapaian ini tidak hadir secara kebetulan.

“Ia adalah hasil daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa sektor pendidikan, termasuk melalui pelbagai bentuk inisiatif, sokongan dan intervensi pendidikan seperti pemberian buku rujukan, buku latihan serta kit persekolahan, bagi memastikan anak-anak Pahang terus mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Kerajaan Negeri juga katanya akan terus meletakkan pendidikan sebagai antara agenda utama pembangunan negeri, selaras dengan hasrat dan hala tuju Aspirasi Pahang 1st, kerana pendidikan merupakan asas terpenting dalam membina masa depan negeri yang lebih gemilang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN 

SPM: 671 calon di Pahang cemerlang semua mata pelajaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast