KUALA LUMPUR – Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi getah sekerap (cuplump) dan lateks diaktifkan kepada pekebun kecil di Sabah dan Sarawak untuk bulan Mac 2026.
Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM), IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah sekerap berada di bawah paras RM3 sekilogram atau lebih rendah, dengan insentif bagi lateks diaktifkan secara serentak.
Pada Mac 2026, harga purata peringkat ladang bagi getah sekerap ialah RM3.30 sekilogram di Semenanjung.
Manakala RM2.95 sekilogram di Sabah dan RM2.85 di Sarawak.
Kadar IPG bagi lateks pula ditetapkan pada 90 sen sekilogram bagi lateks dengan Kandungan Getah Kering (KGK) 100 peritus.
LGM menambah, kadar IPG yang diaktifkan bagi getah sekerap dan lateks di Sabah ialah 5 sen sekilogram bagi 50 peratus KGK dan 10 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK, manakala di Sarawak masing-masing pada 15 sen sekilogram dan 30 sen sekilogram.
Pekebun kecil di Sabah dan Sarawak layak menerima bayaran IPG dari 1 hingga 30 April 2026 berdasarkan pengeluaran getah pada Mac 2026.
IPG untuk getah sekerap dan lateks tidak diaktifkan di Semenanjung Malaysia bagi Mac 2026.
Oleh itu, tiada bayaran IPG akan dilakukan bagi bulan tersebut. – MalaysiaGazette















