Kancah peperangan bergegar lagi – walaupun perang Ukraina dan Rusia masih belum selesai. Kali ini, konflik melibatkan sekutu Amerika Syarikat (AS)-Israel menentang Iran. Israel mencetuskan api peperangan kerana mahu menumpaskan potensi Iran sebagai kuasa besar di Timur Tengah. Aspirasi Israel disokong oleh AS lantas membantu Israel menyerang Iran.
AS memiliki pelbagai-motif lain seperti: memusnahkan program nuklear Iran, melaksanakan perubahan rejim dan menguasai sumber minyak di sana.AS yakin mampu mengulangi “kejayaan” taktik yang mereka laksanakan ke atas Veneuzela dengan menangkap presiden negara tersebut dan menapakkan pengaruh Amerika ke atas negara yang kaya dengan petrol itu.
Iran pula berhadapan dengan ancaman “kewujudan” negaranya selepas bertubi-tubi diserang oleh kuasa Barat sejak penyingkiran Mohamad Mosadegh pada 1953 oleh AS dan Britain. Antara prang utama adalah perang dengan Iraq yang disokong Barat
(1980–1988) dan pelbagai pertembungan tentera laut AS.
Kini, perang berada dalam “fasa pemesatan serangan” dari kedua-dua pihak, di mana “kemusnahan lawan” menjadi senjata utama masing-masing. Pada masa yang sama Iran membalas dengan strategi “ekonomi ketenteraan” iaitu menutup laluan sempit atau “chokepoint” Selat Hormuz, bertujuan menyekat import dan eksport minyak petrol dan gas daripada Iran dan negara Teluk ke dunia.
Negara Teluk terdiri daripada Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, UAE, Qatar dan Oman. Bersama Iran, semua negara ini menyumbang secara kolektif satu perlima bekalan minyak dunia dan tiga perempat daripada eksport minyak melalui selat tersebut.
Pegangan syer pasaran besar memungkinkan sekatan selat menggoncang pasaran minyak petrol dunia. Iran mengguna strategi ini untuk mengugat harga petrol dunia yang akan mencengkam pertumbuhan ekonomi lantas pendapatan negara musuhnya. Strategi ini meningkatkan kuasa tawar Iran di meja perundingan geopolitik antarabangsa.
Selat Hormuz merupakan “chokepoint” paling penting di dunia selain Panama dan Suez Canal. Bahan api (terutama petrol dan gas) adalah nyawa kegiatan ekonomi semua negara, kaya atau miskin. Tenaga diperlukan untuk pengeluaran makanan, pembuatan, pengangkutan, perdagangan dan semua kegiatan penggunaan. Tanpa bahan api, kemelesetan ekonomi akan berlaku dan ketidakjaminan makanan akan terjejas.
Beberapa negara Asia terperangkap dengan sekatan bekalan tenaga ini. Negara miskin dengan defisit perdagangan petrol dan gas yang besar mengalami kesan paling teruk, terutama yang bergantung pada Selat Hormuz untuk bekalan. Contohnya, Pakistan bergantung 90% kepada import petrol melalui selat ini, Sri Lanka (43.5%), Nepal (51.4%), Thailand (52.3%) dan Filipina (25.6%). Malah negara-negara Asia kaya juga tidak terlepas.
Bahagian import minyak Jepun ialah 75%, Korea Selatan (68%), China dan Singapura (50% setiap satu). Pakistan, Jepun, China dan Malaysia telah dikecualikan daripada sekatan. Negara yang termangsa sudah mula mengambil langkah berjimat seperti: pengawalan ke atas petrol, pengurangan hari bekerja, larangan eksport minyak, galakan kerja dari rumah/di mana-mana, sumber alternatif dan perolehan terus oleh kerajaan. Situasi ini boleh menjadi huru-hara jika tidak diurus dengan baik.
Malaysia, buat masa ini, agak bernasib baik kerana merupakan pengeksport minyak mentah tetapi pengimport bersih produk petroleum seperti petrol, diesel, bahan api jet, gas petroleum cecair (LPG) dan lain-lain. Ini tidak bermakna Malaysia terlindung daripada kesan kenaikan harga minyak di masa hadapan.
Sejarah pasaran minyak global yang sering bergolak tidak mungkin reda kerana ketidakstabilan struktur pasarannya. Krisis besar silam termasuk; embargo minyak Arab (1973), perang Iran-Iraq (1979–1980), pencerobohan Kuwait (1990–1991), krisis kewangan (2008), kejatuhan harga minyak (2014), Covid-19 (2020) dan kini konflik AS-Israel vs Iran.
Bererti, Malaysia tidak boleh alpa dan selesa dengan masa mendatang.
Walaupun Malaysia merupakan pengeksport minyak, ia adalah pengimport bersih baja untuk pengeluaran pertanian dan makanan. Selat Hormuz merupakan hab baja dengan kira-kira 30% bekalan baja dunia dikendalikan di selat ini. Minyak dan gas adalah fidstok utama untuk pengeluaran pelbagai jenis baja seperti potash, baja berasaskan nitrogen, fosfat dan baja
kompaun. Negara-negara Teluk merupakan antara pengeksport utama urea kerana kos gas asli yang rendah.
Malaysia mengimport beberapa input utama dari Timur Tengah, terutamanya baja berasaskan nitrogen (urea, ammonia) dan baja fosfat. Kawasan ini penting kerana baja dihasilkan menggunakan gas asli yang murah dan rizab fosfat yang besar.
Seperti negara dunia yang lain, Malaysia berdepan dengan krisis kenaikan harga petrol akibat peperangan dan kenaikan harga baja iaitu produk sampingan utama komoditi ini. Kenaikan harga bahan api akan menjejaskan keseluruhan ekonomi negara dan baja ke atas keterjaminan makanan.
Krisis minyak yang lalu membuktikan impak pertama terhadap ekonomi adalah inflasi. Kesan berantai inflasi tinggi boleh melumpuhkan ekonomi dengan teruk. Iaitu, interaksi dan timbal balas antara inflasi dengan reaksi pasaran mampu menyebabkan kemelesetan ekonomi yang serius dan berpanjangan.
Sebagai contoh, apabila harga petrol meningkat, ia akan meningkatkan kos pengeluaran iaitu berlaku kos inflasi. Kos semua perkhidmatan dalam rantaian bekalan juga tutut meningkat. Maka bukan setakat harga ladang, tetapi harga di setiap rantaian bekalan akan turut naik Lazimnya peniaga akan memindahkan beban kos kepada pengguna.
Pengguna pula mengalami penurunan dalam pendapatan sebenar kerana inflasi menyebabkan daya beli turut melemah. Ini akan menyebabkan pembelian atau penggunaan berkurangan. Apabila ini berlaku, pengeluaran akan turut menurun.
Penggunaan masyarakat berkurangan adalah bahaya kerana ia akan menyebabkan pelaburan dalam ekonomi menurun. Tanpa pelaburan yang aktif pertumbuhan akan melemah dan ekonomi akan mengalami kemelesetan atau resesi. Kitaran kemelesetan ini akan berterusan jika tiada perubahan struktur dilakukan. Kesan di luar jangkaan fenomena ini adalah rakyat rata-rata akan menjadi miskin dan ini menyuburkan ketidaktenteraman dan ketidakstabilan politik.
Kesan kepada keterjaminan makanan juga parah.Kenaikan harga bahan api dan baja akan meningkatkan kos pengeluaran. Lazimnya petani kecil tidak mampu untuk menampung kenaikan harga, lantas mereka akan meminimumkan penggunaan baja, maka hasil menurun dan ini mengurangkan pengeluaran.
Pada masa yang kos pasca ladang juga turut meningkat seperti perkilangan, pemprosesan, pengangkutan dan perdagangan. Apabila harga makanan terlalu tinggi, pengguna miskin akan terjejas. Kemungkinan kebuluran berlaku apabila pengguna tidak mampu membeli makanan.
Nyata, di antara semua bentuk inflasi, inflasi harga makanan adalah yang paling kritikal dan boleh mencetuskan kebuluran serta ketidakstabilan politik.
Negara pengeluar di luar negara mungkin mengalami nasib yang sama,maka bekalan dunia akan turut menurun dan akan menyebabkan harga akan meningkat di pasaran dunia, maka Malaysia perlu mengimport pada kos yang tinggi lantas membesarkan lagi defisit imbangan perdagangan negara. Ringkasnya, memastikan keterjaminan makanan dalam negeri adalah strategi membentengi ketidakstabilan perdagangan dunia.
Bagaimana Malaysia boleh memastikan keterjaminan makanan pada masa depan? Memandangkan ketidaktentuan dan turun naik pasaran global seperti yang terbukti dalam dua dekad terakhir, memberi tumpuan hanya kepada keterjaminan makanan tidak
mencukupi kerana pengeluaran bergantung kepada input seperti tanah, air, baja dsbnya.
Setiap input memiliki dinamik pasaran tersendiri, yang kadangkala di luar kawalan Malaysia. Import baja adalah contoh jelas: harga sangat terdedah kepada turun naik pasaran global yang dikuasai oleh negara kaya dan berkuasa seperti AS, Rusia, dan negara-negara Timur Tengah yang sering terdedah kepada konflik.
Sebagai ekonomi kecil, Malaysia hanya mampu sebagai penerima harga dengan kuasa tawar yang terhad. Selain itu, rizab minyak Malaysia semakin berkurangan. Anggaran semasa menunjukkan ia mungkin hanya bertahan kira-kira 10 tahun lagi pada kadar penggunaan kini, berpotensi habis sekitar 2030.
Berdasarkan senario ini, dicadangkan Malaysia mengamalkan polisi dua serampang – iaitu polisi keterjaminan makanan dan sumber. Sesetengah negara memilih keterjaminan makanan dan tenaga, Konsep keterjamiann sumber Malaysia merangkumi bahan api, tanah, air dan benih. Input ini penentu utama keterjaminan makanan – tanpa elemen ini, Malaysia akan menghadapi defisit makanan yang teruk.
Setiap input adalah penting. Malaysia perlu melabur dalam pengeluaran sumber bahan api yang boleh diperbaharui, seperti tenaga nuklear, hidrogen, bioenergi dan lain-lain. Baja organik adalah alternatif terbaik kepada baja kimia. Dengan sumber petrol dan gas tempatan, Malaysia sepatutnya mampu mengeluarkan bajanya sendiri sebagaimana negara Teluk tadi.
Tanah pertanian semakin berkurangan akibat pengembangan sawit, perindustrian dan urbanisasi. Tekanan serupa berlaku pada sumber air. Bagi benih pula, Malaysia belum sepenuhnya memanfaatkan biodiversiti yang kaya, sebahagian besar masih belum diteroka dan terdedah kepada eksploitasi atau kehilangan. Tindakan segera perlu diambil untuk melindungi semua sumber ini sebelum habis digunakan untuk tujuan bukan makanan. Ringkasnya, untuk menghadapi zaman yang sentiasa bergolak, Malaysia mesti memastikan keterjaminan makanan dan sumber.
Oleh: Profesor Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad,
Felo Penyelidik, Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan,
Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia
















