GEORGE TOWN – Tiada kes pecah rumah direkodkan di Pulau Pinang sepanjang Op Selamat 2026 yang dilaksanakan sempena Hari Raya Aidilfitri dari 19 hingga 24 Mac lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, situasi itu mencerminkan keberkesanan tindakan pencegahan jenayah yang dilaksanakan secara berterusan oleh pihak polis sepanjang musim perayaan.
Beliau berkata, kejayaan tersebut hasil pendekatan proaktif pasukan serta komitmen anggota dalam memastikan keselamatan orang awam dan harta benda sentiasa terpelihara.
Sepanjang tempoh sama, katanya, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) menerima 474 maklumat daripada orang ramai yang pulang ke kampung melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) serta borang di balai polis.
“Maklumat itu membolehkan polis menyusun gerakan rondaan secara lebih tersasar dengan mengambil kira lokasi kediaman yang ditinggalkan dan rekod jenayah lampau.
“Secara keseluruhan, sebanyak 13,953 rondaan dilaksanakan melibatkan Mobile Patrol Vehicle (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB),” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu, Azizee berkata, penguatkuasaan trafik turut dipergiat dengan 10,681 saman dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan.
“Jumlah itu meningkat sebanyak 2,303 saman berbanding Op Selamat sebelumnya, sekali gus menunjukkan tindakan lebih tegas dalam memastikan pematuhan undang-undang jalan raya.
“Selain itu sebanyak empat kemalangan maut direkodkan, namun jumlah itu masih berada dalam had sasaran yang ditetapkan.
“Daripada empat kes itu, hanya satu berlaku di kawasan hotspot, menunjukkan pemantauan di lokasi berisiko tinggi berjalan dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















