KLANG – Isteri kepada arwah Amirul Hafiz Omar, mangsa kemalangan maut dirempuh pemandu mabuk, Nor Nadia mahu pelaku terbabit mendapat hukuman setimpal dengan jenayah dilakukan.
Nor Nadia yang masih dalam keadaan sedih sempat meluahkan hasratnya dan mahu hukuman nyawa dibalas dengan nyawa.
“Saya nak nyawa dibalas nyawa,” katanya sebaik sahaja melangkah masuk ke Kompleks Mahkamah Klang, kira-kira jam 9.20 pagi tadi.
Amirul Hafiz maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Jalan Raya Barat, Klang pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an, datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.
Hasil ujian saringan mendapati pemandu kereta berkenaan positif alkohol dan dadah. – MalaysiaGazette
















