GEORGE TOWN – Prosiding terhadap dua lelaki warga Myanmar yang didakwa membunuh rakan senegara mereka di kawasan lapang berhampiran Gat Lebuh Macallum bulan lalu, ditangguhkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Kedua-dua tertuduh, Myat Thu Khaing dan Sein Win Aung, tidak memahami bahasa Melayu menyebabkan pertuduhan gagal dibacakan kepada mereka semasa prosiding berlangsung.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi pelantikan jurubahasa bahasa Myanmar bagi memastikan pertuduhan dapat disampaikan dengan jelas kepada kedua-dua tertuduh.
Majistret, Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin kemudian menetapkan 23 April ini untuk pelantikan jurubahasa berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki ditemukan mati dibunuh dengan kesan kecederaan di kepala
Media pada 9 Mac lalu, polis melaporkan seorang lelaki warga asing ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan di kepala yang dipercayai akibat dipukul menggunakan objek tumpul.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, bedah siasat yang dijalankan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang ke atas mangsa mendapati punca kematian akibat trauma hentakan kuat di kepala.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette
















