PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki enggan mengulas mengenai teka-teki perkhidmatan beliau yang akan berakhir Mei ini.
Beliau mengulangi pendirian untuk tidak memberi sebarang ulasan sama ada peranannya dalam SPRM akan diteruskan atau sebaliknya.
“Tidak ada komen, saya sudah kata, saya tidak mahu komen,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkhidmatannya dalam agensi penguatkuasaan itu yang bakal tamat pada 12 Mei ini.
Tahun lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengesahkan kontrak Azam disambung untuk tempoh 12 bulan lagi bermula 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.
Perkhidmatan Azam dalam SPRM menjadi teka-teki selepas terpalit dengan dakwaan media antarabangsa, Bloomberg dan Strait Times mendedahkan beliau memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd sejak awal 2025.
Baru-baru ini pula, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli pula mendedahkan Azam didakwa mempunyai saham bernilai RM14 juta merentasi sembilan syarikat. – MalaysiaGazette
















