Logo Angkatan Tentera Darat Malaysia

BENTONG – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terbabit dalam insiden mendatangkan kecederaan terhadap anggota tentera dalam kejadian di Kem Bentong.

Dalam satu kenyataan, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, satu lembaga siasatan sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Tindakan tegas yang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat. TDM sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku yang menyalahi undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya.

Dalam masa sama, TDM mengesahkan insiden perlakuan mendatangkan kecederaan oleh seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) terhadap beberapa anggota tentera yang lain telah berlaku di pasukan Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD), Kem Bentong di sini pada 30 Mac 2026.

Menerusi siasatan awal, seorang anggota PTTR telah menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk di bahagian muka dan perut anggota-anggota tersebut disebabkan tidak berpuas hati dengan penugasan yang telah diarahkan kepada anggota-anggota tersebut.

“Akibat daripada insiden tersebut, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi telah tidak sedarkan diri dan diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 25 RAMD sebelum dipindahkan ke Hospital Bentong.

“Beliau kini sedang menerima rawatan rapi menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh,” jelasnya lagi.

Dalam insiden yang sama, katanya, seramai enam orang anggota lain disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Bentong oleh pihak Polis Diraja Malaysia selepas keterangan mereka diambil.

Susulan kejadian tersebut, anggota PTTR yang disyaki terbabit telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan lanjut.

TDM memohon agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta demi menghormati privasi mangsa dan ahli keluarganya.

Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Koperal ditahan kes anggota tentera parah dipukul dalam kem di Bentong

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast