Gambar hiasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat 17 individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu mengenai kenaikan harga bahan api dan tarif baharu elektrik yang tular di media sosial.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hingga kini, sebanyak lapan rakaman percakapan suspek yang terlibat selesai diambil melibatkan lima kes hantaran palsu berkaitan isu kenaikan harga bahan api.

“Daripada lima kes tersebut, tiga suspek telah dirakam percakapan sebelum ini dan semalam baki dua lagi telah selesai dirakam percakapan,” demikian ujar MCMC dalam kenyataan dalam laman Facebook.

Sementara itu, terdapat tiga kes berkaitan tarif baharu elektrik manakala baki sembilan lagi suspek sedang dalam proses pemantauan lanjut dan akan dipanggil untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.

Penyebaran maklumat-maklumat palsu ini boleh menimbulkan suasana panik dan kegelisahan kepada pengguna.

Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast