KUALA LUMPUR – Jaguh pecut para negara, Mohamad Ridzuan Puzi membuat keputusan untuk bersara daripada arena olahraga selepas lebih sedekad berbakti kepada negara sekali gus menutup kisah gemilang dalam sejarah sukan paralimpik Malaysia.
Atlet kelahiran Padang Besar, Perlis itu mencipta nama apabila memenangi emas dalam acara 100 meter (m) T36 pada Sukan Paralimpik Rio 2016 malah turut memecahkan rekod temasya dengan catatan masa 12.07 saat.
Persaraan atlet berusia 38 tahun itu disahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin yang berkata pihaknya telah berbincang secara teliti mengenai hala tuju masa depan Ridzuan bersama Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE).
Beliau menambah, MSN amat menghargai sumbangan membanggakan Dek Wan kepada negara dan mengucapkan selamat maju jaya tidak kira apa jua bidang yang ingin diteruskan selepas ini.
Ridzuan lebih mesra disapa Dek Wan menghidap cerebral palsy sejak kecil mula beraksi pentas antarabangsa pada Sukan Para ASEAN 2011.
Sepanjang kariernya, beliau pernah menduduki ranking nombor satu dunia dalam acara 100m T36 selain meraih pelbagai pingat di kejohanan utama termasuk meraih emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2015.
Kemuncak prestasi Ridzuan dapat disaksikan pada 2018 apabila meraih tiga pingat emas pada Sukan Para Asia Jakarta-Palembang dalam acara 100m T36, 400m T36 dan lompat jauh T36. – MalaysiaGazette
















