SHAH ALAM – Balu dan tiga anak penghantar barang (P-Hailing) yang maut dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang Ahad lalu menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, hasil semakan mendapati, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, layak menerima manfaat itu kerana majikannya membuat caruman.
“Allahyarham yang juga pekerja di TVH Malaysia Sdn. Bhd selama 15 tahun merupakan pencarum aktif bawah skim LINDUNG Pekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
“Rekod caruman Allahyarham memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan, sekali gus melayakkan waris menerima Pencen Penakat sebagai jaminan kewangan berterusan,” katanya pada sidang media sempena program Ziarah Prihatin di kediaman waris di Pangsapuri Rimba, Seksyen 16, di sini, hari ini.
Rabu lalu, seorang pembantu makmal swasta yang memandu kereta Honda City dalam keadaan mabuk merempuh penghantar barang itu di Jalan Raya Barat, Klang Ahad lalu didakwa di Mahkamah Majistret Klang.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada suspek, Saktygaanapathy Ravichandran, 28, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khartiyayini Ambualagan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz di Jalan Raya Barat, kira-kira jam 11.47 pagi, pada 29 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Amirul Hafiz meninggalkan seorang balu, Nor Nadia Abdul Majid, 32 serta tiga anak iaitu Muhammad Agif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7 dan Nur Humaira, 2.
Azman juga berkata, melalui manfaat Pencen Penakat, balu layak menerima bayaran bulanan sepanjang hayat.
“Manakala anak-anak akan menerima bantuan kewangan pendidikan sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama dengan jumlah faedah berjumlah RM2,888.17 setiap bulan,” katanya.
Selain itu, kata Azaman, PERKESO turut menyalurkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 kepada waris.
“Kehilangan insan tersayang tidak dapat diganti, namun perlindungan sosial yang disediakan PERKESO mampu menjadi benteng penting dalam menjamin kelangsungan hidup waris.
“Caruman konsisten adalah asas kepada perlindungan ini dan dalam kes ini, ia menjadi penyelamat kepada masa depan keluarga Allahyarham,” katanya.
Menurutnya, PERKESO komited memastikan penyaluran faedah dilaksanakan dengan cekap dan lancar demi kebajikan waris.
“Masyarakat diingatkan agar sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya dan menjauhi pemanduan di bawah pengaruh alkohol bagi mengelakkan tragedi seumpama ini terus berulang.
Beliau turut menyeru majikan yang masih belum mendaftar agar segera mendaftarkan perusahaan dan mencarum pekerja mereka di bawah LINDUNG Pekerja atau Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
“Ini kerana perlindungan yang disediakan hari ini merupakan jaminan bagi masa depan memandangkan malang tidak berbau.
“Aspek perlindungan sosial diperkukuh di sektor informal melalui penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang telah mula berkuat kuasa pada 31 Mac 2026.
“Akta baharu ini secara rasminya memberi perlindungan keselamatan sosial di bawah PERKESO kepada lebih 1.64 juta pekerja sektor gig di Malaysia, sekali gus menjamin pampasan kebajikan sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan semasa bekerja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















