KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir melangkah ke final Piala Malaysia selepas membelasah Kuala Lumpur City (KL City) FC 4-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Skuad bimbingan Munoz Javier itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Bergson meledak gol pertama seawal minit kelima sebelum pelawat menggandakan kelebihan pada minit ke-31.
Gol menerusi sepakan percuma menarik disempurnakan Ager Aketxe dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol KL City, Quincy Julian Kammeraad.
Memasuki babak kedua, Oscar Arribas menambah derita KL City apabila meledak gol ketiga JDT pada minit ke-59 untuk meletakkan pelawat selesa mendahului 3-0.
Ager Aketxe terus menjadi duri dalam daging meledak gol keempat JDT ketika perlawanan berbaki enam minit sebelum tamat untuk menambah derita tuan rumah.
Kedudukan 4-0 kekal hingga wisel penamat sekali gus menyaksikan KL City berdepan tugas sukar untuk menyekat kemaraan JDT pada aksi separuh akhir kedua.
JDT membawa pulang bekalan cukup selesa menjelang aksi timbal balik menentang KL City di Stadium Sultan Ibrahim pada 7 April ini. – MalaysiaGazette
















