Pencawang elektrik, TNB
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan satu kemalangan renjatan elektrik melibatkan tiga orang awam di sebuah tiang talian elektrik berlaku berhampiran Kg Gong Ubi Keling, Jerteh, Terengganu semalam, yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan vandalisme di pepasangan elektrik.

TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya yang digerakkan ke lokasi kejadian telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga bagi membantu siasatan lanjut.

Menurutnya, TNB ingin menegaskan bahawa pepasangan elektrik seperti tiang, kabel dan talian elektrik adalah berbahaya serta tidak boleh disentuh atau diceroboh oleh mana-mana pihak.

“Sebarang gangguan atau kerosakan pada pepasangan elektrik adalah menyalahi undang-undang dan berisiko menyebabkan renjatan elektrik yang boleh membawa maut.

“Orang awam dinasihatkan supaya menjauhi kawasan ini dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa atau TNB,” katanya menerusi laman Facebook TNB CareLine hari ini.

Menurut kenyataan itu, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi garis panduan keselamatan dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti yang dilarang berdekatan talian elektrik di: https://www.tnb.com.my/transmissionlinessafety.  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast