KUANTAN – Kata-kata seorang ayah yang mengakui berasa takut dan berdebar sebelum turun ke laut rupa-rupanya menjadi petanda kepada kehilangan misterinya apabila bot dinaiki ditemui terdampar di pesisir Pantai Sepat, di sini, Khamis lalu.
“Ini kali pertama ayah cakap dia rasa takut dan berdebar nak ke laut,”
Demikian luahan Nor Hidayah Mohd Ishak, 36, yang tidak menyangka perubahan sikap bapanya, Mohd Ishak Ismail, 63, membawa kepada detik cemas buat keluarganya.
Menurutnya, sebelum keluar mencandat sotong, mangsa sempat memaklumkan kepada ibunya mengenai perasaan luar biasa itu.

“Ibu hairan sebab ayah bukan orang yang penakut. Dia sangat biasa dengan laut, dia pernah jatuh dari perahu pun masih boleh selamatkan diri.
“Ayah tahu menyelam, tahu potong tali, dan naik semula ke permukaan, tapi kali ini lain,” katanya ketika ditemui di Pantai Sepat, hari ini.
Mangsa yang juga pesara kontraktor dilaporkan keluar bersendirian dari rumah di Taman Beserah Ria kira-kira jam 10 pagi, Rabu, sebelum botnya ditemui tanpa kelibat dirinya keesokan hari.

Hidayah berkata, pertemuan terakhir mereka pada Selasa lalu kini menjadi kenangan yang sukar dilupakan.
“Ayah sempat ajak saya ikut mencandat. Kalau ikutkan, memang saya selalu temankan dia sebelum ini.
“Tapi kali ini saya tak dapat ikut sebab tiada ahli keluarga lain. Saya tak sangka itu pelawaan terakhirnya,” katanya dalam nada sebak.
Menurutnya, pengalaman ke laut bersama bapanya sebelum ini tidak pernah menimbulkan kebimbangan kerana mangsa sangat berpengalaman dan mahir selok-belok di laut.
Namun, satu pengalaman bermalam di laut dengan gelombang kuat membuatkan dia tidak lagi sanggup mengikut bapanya pada waktu malam.

Sementara itu, menantu mangsa, Mohd Ridzuan Mat Jusoh, 40, turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat memenuhi pelawaan bapa mentuanya itu.
“Memang rasa ralat sebab ayah ajak tapi saya tak dapat ikut sebab kerja.
“Sekarang hanya bot dan barang peribadi sahaja ditemui namun ayah tiada,” katanya.
Menurutnya, mangsa sepatutnya pulang ke jeti pada pagi Khamis selepas bermalam di laut.
“Harapan kami hanya satu, semoga ayah ditemui segera, walau dalam apa jua keadaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Penolong Penguasa Kanan Bomba, Norhasmi Mat Taib @ Mat Amin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini memasuki hari ketiga.

Katanya, operasi melibatkan lapan anggota termasuk tiga Pegawai Penyelamat Di Air (PPDA) dengan pencarian dijalankan dalam radius kira-kira empat kilometer dari pesisir pantai.
“Kita menggunakan bot aluminium dan rondaan dilakukan secara berkala mengikut sektor yang telah ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















