KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 70-an cedera di kepala selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah kereta yang hilang kawalan dalam satu kejadian kemalangan di daerah Kuala Langat, dekat sini, petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Mohd. Sufian Amin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.50 petang di Kilometer 35, Jalan Klang-Banting-Port Dickson melibatkan dua buah kereta dan sebuah motosikal.
Menurut beliau, siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Hyundai Sonata dari arah Taman Cempaka, keluar dari simpang menghala ke Jalan Klang-Banting-Port Dickson sebelum dilanggar oleh sebuah kereta Proton Persona.
“Kereta Proton Persona dari arah sebelah kanan tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian sisi kanan motokar jenis Hyundai Sonata.
“Akibat perlanggaran itu, kereta Proton Persona telah hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda yang berada di lorong kanan menyebabkan penunggang motosikal itu tercampak atas jalan.
“Penunggang motosikal itu berusia dalam lingkungan 70-an dan tidak bekerja mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dibawa oleh ambulan ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemandu kereta lelaki jenis Hyundai Sonata berusia 30-an manakala pemandu wanita Proton Persona berusia 20-an yang juga seorang pelajar tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujarnya, siasatan lanjut mendapati, kesemuanya mempunyai lesen memandu yang sah.
Polis membuka siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Polis turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat semasa kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mazrol Mohd Din di talian (h/p: 011-18539115) atau (tel: 03-31872222). – MalaysiaGazette
















