Pasukan penyelamat mengusung mayat Mohd Ishak Ismail yang ditemukan lemas oleh orang awam di Pantai Lagenda, di Pekan pada pukul 6.30 petang tadi.

KUANTAN – Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas yang keluar mencandat sotong sejak tiga hari lalu akhirnya terjawab apabila mangsa ditemukan lemas di Pantai Laganda, Tanjung Gosong, Pekan, petang tadi.

Mangsa, Mohd Ishak Ismail, 63, ditemukan pada pukul 6.30 petang oleh pasukan penyelamat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga.

Ketua Operasi, Mardi Abdullah memaklumkan, mangsa dijumpai pada jarak kira-kira 32 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi (PKO) Pantai Sepat, lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

“Operasi SAR digerakkan sejurus menerima panggilan kecemasan pada 2 April lalu, kira-kira pukul 9.57 malam mengenai seorang lelaki dipercayai lemas ketika mencandat sotong di Pantai Sepat.

“Pasukan pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan tiba di lokasi pada pukul 10.28 malam sebelum operasi pencarian dijalankan bersama agensi,” katanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai keluar seorang diri menaiki bot fiber sepanjang 24 kaki dengan enjin Yamaha 150 kuasa kuda dari Jeti Tanjung Api pada 1 April, sekitar pukul 10 pagi.

Difahamkan kebiasaannya mangsa akan pulang ke jeti sama keesokan hari, namun kegagalan pulang mencetuskan kebimbangan keluarga sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa.

Operasi hari ketiga melibatkan pencarian di laut dalam lingkungan empat hingga lima kilometer dari Pantai Sepat ke arah Kampung Hijrah, diketuai pihak polis dengan kerjasama bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Seramai 27 anggota daripada pelbagai agensi termasuk BBP Kuantan dan BBP Peramu terbabit dalam operasi, selain penggunaan sebuah bot aluminium dan kenderaan EMRS.

MalaysiaGazette sempat menyertai operasi pencarian pada sebelah pagi Sabtu bersama pasukan penyelamat.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati lemas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast