KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Hanipa Maidin mempersoalkan tindakan mendakwa seorang lelaki atas tuduhan bunuh dalam kes kemalangan maut di Klang dengan menyifatkannya sebagai terlalu keras.
Menurut beliau, berdasarkan fakta yang dilaporkan, sukar untuk mengaitkan kematian Amirul Hafiz Omar sebagai perbuatan dengan niat membunuh.
Katanya, pertuduhan lebih sesuai adalah di bawah Seksyen 304 atau 304A Kanun Keseksaan atau katanya peruntukan berkaitan di bawah Akta Pengangkutan Jalan yang melibatkan kecuaian atau perbuatan melulu.
“Seksyen 304 melibatkan membunuh tanpa niat manakala Seksyen 304A pula berkaitan menyebabkan kematian akibat kecuaian.
“Walaupun memandu di bawah pengaruh bahan terlarang satu kesalahan serius, kebiasaannya kes seperti ini didakwa sebagai vehicular manslaughter atau negligent homicide bukan bunuh,” katanya dalam kenyataan.
Beliau bagaimanapun mengakui kes itu mendapat perhatian ramai, lebih-lebih lagi mangsa merupakan bapa kepada tiga anak dan bekerja dua pekerjaan untuk menyara keluarga.
Tegasnya, pertuduhan membunuh tanpa niat adalah lebih munasabah dan adil berbanding pertuduhan bunuh.
Pada 1 April lalu, pembantu makmal, R. Saktygaanapathy, 28, didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh berhubung kematian Amirul dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang pada 29 Mac.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan mengambil bahan terlarang jenis benzodiazepine dan ganja yang membuat pengakuan salah bagi kesalahan itu.
Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar mempertahankan keputusan tersebut dengan merujuk Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan.
Menurutnya, peruntukan itu menetapkan seseorang boleh dianggap melakukan bunuh jika melakukan perbuatan yang diketahui amat berbahaya sehingga berkemungkinan besar menyebabkan kematian atau kecederaan serius yang boleh membawa maut. – MalaysiaGazette
















