KOTA TINGGI – Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang kukuh dengan Iran sehingga memberi kesan positif dan ‘menyelamatkan’ negara terutama ketika berdepan situasi krisis bekalan tenaga dunia pada masa ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan baik itu membolehkan kelangsungan bekalan tenaga negara dalam keadaan banyak negara berdepan krisis.
“Konflik yang berlaku telah memberi kesan besar kepada rantaian bekalan minyak dunia termasuk peningkatan kos penghantaran dan insurans.
“Pendirian tegas Malaysia yang membantah serangan terhadap Iran memberi kesan positif apabila kapal negara dibenarkan melalui Selat Hormuz, laluan penting perdagangan minyak dunia.
“Ingat senang untuk pujuk kepimpinan Iran bagi membolehkan kapal kita melalui Selat Hormuz? Ini hasil hubungan diplomatik yang kita bina dan pelihara,” katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian ketika berucap pada program bersama warga Felda di Felda Semenchu, di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau sendiri berhubung secara langsung dengan kepimpinan Iran bagi memastikan urusan melibatkan kapal dan bekalan minyak Malaysia tidak terjejas.
“Alhamdulillah, hasil hubungan diplomatik yang baik, mereka memberi jaminan untuk membantu memudahkan urusan tersebut,” katanya.
Anwar berkata, situasi semasa amat mencabar apabila kos logistik termasuk tambang kapal dan insurans meningkat secara mendadak akibat risiko konflik di rantau berkenaan.
Keadaan itu, jelas beliau, memberi tekanan kepada ekonomi negara, namun Malaysia masih mampu bertahan berbanding beberapa negara lain yang berdepan kekurangan bekalan bahan api.
“Di sesetengah negara, berlaku penutupan stesen minyak dan catuan bekalan, tetapi kita masih mampu memastikan bekalan mencukupi untuk rakyat,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















