Tiong King Sing

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tiong King Sing mendedahkan isu gangguan bekalan air di Sibujaya, Sibu, Sarawak kini berada pada tahap kritikal apabila aduan penduduk diterima hampir di setiap rumah yang diziarahinya sempena musim perayaan.

Ahli Parlimen Bintulu itu berkata, kunjungan muhibah yang sepatutnya berlangsung dalam suasana perayaan bertukar menjadi sesi aduan rakyat berhubung masalah air yang berlarutan.

“Saya pergi dari rumah ke rumah, tetapi isu yang dibangkitkan bukan lagi sambutan perayaan, sebaliknya gangguan bekalan air yang menjejaskan kehidupan harian mereka,” tulisnya dalam Facebook beliau hari ini.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu berkata, keadaan tersebut bukan lagi kes terpencil, sebaliknya melibatkan keseluruhan kawasan Sibujaya dan memerlukan tindakan segera.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menegaskan, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak perlu tampil dengan pelan penyelesaian yang jelas dan berkesan, bukan sekadar kenyataan tanpa tindakan.

Menurutnya, gangguan berterusan itu menyebabkan penduduk terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan harian termasuk memasak, selain menjejaskan operasi perniagaan kecil.

“Malah ada aduan menyatakan walaupun bekalan air tiada, meter masih bergerak dan caj terus dikenakan. Ini perkara yang tidak masuk akal dan perlu dijelaskan,” katanya.

King Sing turut mempersoalkan kelewatan penyelesaian isu berkenaan yang menurutnya telah dibangkitkan sejak sekian lama, termasuk di Dewan Undangan Negeri pada 2023.

“Masalah ini sudah berlarutan puluhan tahun, tetapi masih tiada penyelesaian konkrit. Yang ada hanyalah penafian dan alasan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, penduduk mempersoalkan keupayaan pihak berkuasa menyediakan bekalan air mencukupi bagi acara tertentu, namun gagal memenuhi keperluan asas rakyat.

Tegasnya, janji menaik taraf loji rawatan air serta projek berkaitan yang diumumkan sebelum ini juga masih belum memberikan kesan kepada penduduk setempat.

Beliau turut menyampaikan hasrat penduduk agar Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak turun padang ke Sibujaya bagi melihat sendiri keadaan sebenar.

Menurutnya, golongan paling terkesan adalah penduduk di kawasan perumahan kos rendah dan pangsapuri yang kini berdepan tekanan hidup semakin meningkat akibat masalah tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri campur tangan secara langsung bagi memastikan krisis bekalan air di Sibujaya diselesaikan segera dan tidak terus berlarutan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast