Donald Trump

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam satu hantaran media sosial `yang sarat dengan kata-kata kesat’ hari ini mengancam untuk menyerang loji jana kuasa dan jambatan Iran jika Selat Hormuz tidak dibuka semula pada hari berikutnya.

Susulan amaran ultimatum 48 jam yang dikeluarkannya semalam, Trump menerusi platform Truth Social miliknya berkata: “Hari Selasa akan menjadi Hari Loji Jana Kuasa, dan Hari Jambatan, semuanya digabungkan sekali, di Iran. Tiada apa yang pernah seperti ini!!!”

“Buka Selat (Hormuz) itu sekarang, kamu semua yang gila, atau kamu akan hidup dalam neraka — TUNGGU DAN LIHAT!” tulis Presiden itu, sambil menambah: “Segala puji bagi Allah.”

Semalam, Trump berkata, Tehran mempunyai 48 jam untuk memeterai perjanjian atau berhadapan dengan serangan yang dahsyat.

Ancaman terbaharu Trump itu dibuat selepas satu serangan berhampiran loji janakuasa nuklear Iran memaksa penduduk berpindah, selain pengumuman Tehran mengenai serangan baharu dan dakwaan tentera Israel mengenai pelancaran peluru berpandu dari Yaman.

“Ingat apabila saya memberi Iran sepuluh hari untuk buat perjanjian atau buka Selat Hormuz” tulis Trump di platform Truth Social, merujuk kepada ultimatum yang dikeluarkan pada 26 Mac lalu.

Bagaimanapun, markas tentera Iran menolak ancaman Trump untuk memusnahkan infrastruktur penting negara itu jika gagal menerima perjanjian damai dalam tempoh 48 jam.

Jeneral Ali Abdollahi Aliabadi dalam kenyataan daripada Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya berkata, ancaman Trump itu adalah satu tindakan yang menunjukkan lemah, gementar, tidak stabil serta tidak bijak.

Malah, sambil membalas kenyataan Trump dalam hantaran media sosialnya, beliau memberi amaran “maksud mudah mesej ini adalah pintu neraka akan terbuka buat kamu (AS)”. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast