Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Konvensyen Keadilan Johor di Ekoflora, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya di Johor untuk menggerakkan kekuatan parti menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden PKR itu berkata, mereka yang merupakan ketua cabang mahupun ketua wanita atau pemuda bukan jaminan akan terpilih sebagai calon pada PRU.

Beliau menegaskan tidak akan menandatangani watikah pelantikan calon selagi kekuatan cabang belum cukup kemas berdepan PRU.

“Tak ‘perform‘ di cabang, jangan buat tuntutan. Kita banyak pengalaman yang merajuk, nak bantah, nak keluar, itu semua kita sudah lalui, yang jadi tunggaknya dan keputusan akhir adalah kekuatan sokongan.

“Bila nak PRU, bicaranya hebat, teorinya banyak, strateginya canggih tapi kekuatan bawah hambar. Justeru, diingatkan supaya gerakkan kekuatan parti.

“Ketua cabang bukan automatik jadi calon, ketua wanita, ketua pemuda juga bukan, tapi yang automatik jadi calon itu, mereka yang bekerja, berdedikasi dan mampu menangkan parti,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Johor di Ekoflora di sini, hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut mengingatkan semua ahli PKR agar tidak terlalu selesa setelah menjadi kerajaan, sebaliknya terus kuat memperkukuh sokongan parti.

Sehubungan itu, katanya, setiap ahli perlu menunjukkan keihklasan dan komitmen kerja yang tinggi dalam membina kekuatan khususnya di peringkat akar umbi.

“Kita perlu ingat, bukan mudah untuk berada di kedudukan pada hari ini. Parti ini penuh dengan perjuangan, kalau mahu pertahankan kedudukan, kita perlu tunjuk contoh yang baik.

“Ini kerana kita belum ada kekuatan untuk putuskan semua perkara. Jadi, kita perlu persiapkan diri sebelum tibanya pilihan raya,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast