Suspek ditahan di HKL ketika mendapatkan rawatan sakit jantung.

BERA – Salah seorang suspek kes tetak seorang lelaki menggunakan parang sehingga mengakibatkan kecederaan parah di sebuah kedai makan Triang, di sini berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 39 tahun itu di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) tengah malam semalam, ketika mendapatkan rawatan penyakit jantung yang dihidapinya di hospital itu.

“Kita juga telah berjaya mendapat perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah ke atas suspek selama lima hari sehingga 9 April ini untuk membantu siasatan kes terbabit.

“Pihak polis masih giat menjalankan risikan dan operasi bagi mengesan suspek-suspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zulkiflee, pihaknya turut mengenal pasti dan memburu tiga lagi suspek lain menjadikan keseluruhan tujuh suspek dipercayai terbabit dalam kes itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek yang masih bebas diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes Insp. Muhamad Zulhilmi Ishak di talian 014-2250306 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Bera (09-250-8222).

Terdahulu, polis menerima satu laporan mengenai kejadian seorang lelaki berbangsa India berumur 35 tahun ditetak menggunakan parang oleh empat orang suspek bertempat di kedai minum Ming Wang Kopitiam, di Triang, di sini.

Kejadian dipercayai berlaku pukul 9.16 malam pada 29 Mac lepas. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Polis buru empat suspek tetak lelaki dengan parang di Bera

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast