OPS 'ulat foto' yang dijalankan oleh DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan empat notis kompaun dan membuat enam sitaan terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran menerusi Op Lens sekitar KLCC, Sabtu lalu.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil terhadap individu yang didapati menjalankan aktiviti berkenaan tanpa lesen atau kebenaran sah.

“Sebanyak empat notis kompaun telah dikeluarkan dan enam sitaan pelbagai peralatan jurufoto turut dibuat. Daripada jumlah itu, dua individu yang dikenakan tindakan adalah bukan warganegara atas kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016,” kata.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membanteras kegiatan penyediaan perkhidmatan fotografi secara terbuka di kawasan tumpuan awam.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan lanjut oleh JIM dan JPN terhadap enam individu yang terlibat turut mendapati empat daripada mereka diberikan surat akuan penahanan dokumen oleh JPN bagi tujuan siasatan lanjut.

Tindakan itu dibuat di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 menerusi Peraturan 21(1)(c), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) bagi menyemak kesahihan dokumen pengenalan diri serta status kerakyatan individu berkenaan.

Menurut DBKL, aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh mengundang risiko keselamatan kepada pengunjung.

“Sebahagian daripada kegiatan ini dijalankan di atas jalan raya atau laluan pejalan kaki, yang bukan sahaja membahayakan jurugambar dan pelancong, tetapi juga mengganggu kelancaran lalu lintas dan pergerakan awam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast