Seorang wanita dan anak lelakinya maut apabila motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Gunung Pulai, Kulai, semalam.

KULAI – Seorang wanita dan anak saudara lelakinya maut apabila motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Gunung Pulai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5 petang.

“Kemalangan tersebut melibatkan motosikal jenis Honda dinaiki seorang wanita berusia 32 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dan kereta Proton Saga dipandu seorang wanita berusia 54 tahun.

“Siasatan awal mendapati wanita dan kanak-kanak berkenaan dari Tol Kulai menghala ke Gunung Pulai. Kemalangan berlaku apabila motosikal tersebut hilang kawalan lalu terbabas masuk ke arah bertentangan dan bertembung dengan kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, wanita dan kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu terbabit hanya cedera ringan dan sedang dirawat di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast