Rais Yasin

MELAKA – Kerajaan negeri tampil memperjelaskan kekeliruan berhubung dakwaan tiada keperluan untuk menarik balik lesen perniagaan dua syarikat di sini yang disyaki menggunakan berus bulu babi untuk pembersihan alat di premis berkenaan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin menegaskan, beliau sebaliknya hanya menjelaskan kedudukan sebenar dari sudut perundangan.

Menurutnya, kedua-dua kilang terbabit yang terletak di Tanjung Minyak dan Telok Mas masih mempunyai lesen perniagaan yang sah kerana syarat di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mewajibkan pemilikan sijil atau logo halal.

“Apa yang saya jelaskan adalah lesen perniagaan kilang itu masih belum ditarik balik kerana dalam syarat lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), tidak menyatakan keperluan sijil halal.

“Pelanggaran yang berlaku adalah berkaitan syarat halal untuk penjualan kepada orang Islam, yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), bukan PBT,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, penjelasan itu bertujuan memperbetulkan kekeliruan dan menegaskan bahawa kerajaan negeri mengambil berat isu sensitiviti masyarakat Islam.

“Pihak PBT tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pelanggaran terhadap syarat lesen perniagaan, tapi setakat ini, kilang tersebut masih mempunyai lesen perniagaan yang sah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast