KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memandu secara melawan arus dipercayai akibat tersalah jalan ke Mid Valley ditahan selepas hadir ke Pejabat Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur malam tadi dan akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta pagi ini.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek tampil ke Pejabat JSPT Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.35 malam tadi sebelum tangkapan dilakukan oleh polis.
Terdahulu, JSPT Kuala Lumpur telah membuat beberapa usaha mengesan suspek dengan pergi ke beberapa alamat kediaman yang diperoleh termasuk kediaman keluarga namun gagal menemui individu berkenaan.
Hasil ujian saringan pernafasan (EBA) dan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati kedua-duanya adalah negatif.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Siasatan awal mendapati punca utama kejadian adalah kerana suspek tersalah laluan ketika cuba menghala ke Mid Valley.
Suspek dijangka dituduh di Mahkamah Jalan Duta pada pagi ini pukul 9 pagi.
Pegawai penyiasat bagi kes itu, Inspektor Nazrin Alang Ismail. – MalaysiaGazette
















