Pasukan bola sepak UKM meraikan kemenangan sebagai juara THACO Cup 2026

Kuala Lumpur – Pasukan bola sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah apabila muncul juara Kejohanan Thanh Nien International Student Football Tournament 2026 (THACO Cup) selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Thuy Loi University, Vietnam menerusi penentuan sepakan penalti.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman berkata, kejayaan itu membuktikan semangat juang tinggi, disiplin dan komitmen luar biasa seluruh pasukan dalam mengharumkan nama universiti serta negara di pentas antarabangsa.

“Tahniah kepada pasukan bola sepak UKM yang telah berjuang bersungguh-sungguh dalam menaikkan nama universiti dan negara.

“Terima kasih juga kepada semua yang menjadi sebahagian daripada kejayaan ini,” katanya.

Kapten Pasukan UKM, Amirul Fazly Zamri menyambut piala kejohanan THACO Cup selepas diumumkan Juara THACO Cup 2026 di Vietnam.

Dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Universiti Nha Trang, Vietnam, UKM menampilkan aksi penuh bertenaga sebelum mengesahkan kemenangan dramatik 7-6 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

UKM terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Afiq Norizan pada minit ke-25 sebelum perlawanan berlarutan sehingga ke sepakan penalti.

Penjaga gol UKM, Adam Haris Herman, muncul wira pasukan apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti terakhir lawan sekali gus memastikan kejuaraan milik UKM.

Lebih membanggakan, Adam turut diumumkan sebagai Player of the Match dan Best Goalkeeper, manakala Izrin Ibrahim dinobatkan sebagai Top Scorer kejohanan.

Sementara itu, Amirul Fazly Mohd Zamri pula dipilih sebagai Most Valuable Player (MVP). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast