KUALA LUMPUR – Kejayaan atau kegagalan sesuatu sistem dalam membanteras salah laku rasuah tidak ditentukan oleh undang-undang semata-mata sebaliknya oleh kepimpinan negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kepimpinan sesebuah negara menjadi faktor penentu kepada keberkesanan sistem itu.
“Dalam pengalaman saya selama lebih empat dekad ini dan melalui sampai empat Perdana Menteri sebagai Ketua Pesuruhjaya (SPRM).
“Yang jelas adalah kejayaan atau kegagalan sesuatu sistem tidak ditentukan oleh undang-undang semata-mata tetapi oleh kepimpinan.
“Sekiranya kepimpinan itu ada keazaman politik, jelas, tegas dan tidak berkompromi walaupun belum adanya sistem yang baik.
“Reformasi dan pergerakan ke arah tadbir urus yang lebih efisien, berintegriti dan mantap akan berlaku di bawah kepimpinan ini,” katanya dalam ucaptama Wacana Ilmiah Perdana anjuran SPRM-Asia e University bersama Pusat Dagangan Dunia hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bentong yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Young Syefura Othman serta Presiden dan Pengasas Asia e University, Professor Datuk Dr Ansary Ahmed.
Azam juga berkata, Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu langkah yang tegas, menyeluruh dan proaktif.
“Ia merupakan ‘dokumen hidup’ dan kerangka utama Malaysia yang bertujuan untuk meningkatkan integriti, tata kelola baik dan mencegah rasuah secara menyeluruh.
“Malah ia bagi memacu reformasi pentadbiran negara dalam sektor pendidikan, pencegahan, penguatkuasaan, dan kebertanggungjawaban awam,” katanya.
Bagaimanapun sekiranya kepimpinan lemah atau berkompromi, maka sebaik mana pun sistem yang dibina, ia tetap akan gagal, katanya.
“Oleh itu, kepimpinan bukan satu pilihan tetapi satu keperluan untuk memastikan usaha membanteras rasuah dan pemerkasaan integriti dan tadbir urus berada di atas landasan yang betul,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















