Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama kakitangan Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) membancuh kandungan air garam dan air bagi menjalankan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang. Foto MOHD ADZLAN, 07 APRIL 2026.

SUBANG – Paras air di beberapa empangan di wilayah utara Semenanjung iaitu Kedah dan Perlis mencatatkan sedikt peningkatan susulan kejayaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang bermula sejak semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini paras air di empangan terlibat merekodkan kini peningkatan berbanding sebelum ini.

“Kejayaan OPA semalam, hari ini paras air mencatakan peningkatan 0.01 meter di Empangan Timah Tasoh (Perlis) dan Empangan Muda, Pedu dan Ahning (Kedah).

“Manakala kawasan lain masih belum mencatatkan sebarang perubahan dan ia bersambung dalam operasi hari ini yang akan dilakukan di Perlis dan Kedah.

“Ini kerana hasil kajian mendapati, tahap kepanasan di kawasan tersebut luar biasa jadi kita tumpukan supaya hujan turun bagi kegunaan domestik, industri dan pertanian,”  katanya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup hadir pada Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang. Foto MOHD ADZLAN, 07 APRIL 2026.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau operasi pembenihan awan di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim dan Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Tambah Ahmad Zahid, pelaksanaan OPA merupakan langkah intervensi kerajaan selepas beberapa aspek teknikal dan keadaan atmosfera dikenal pasti sesuai bagi meningkatkan taburan hujan.

“Faktor seperti pembentukan awan mencukupi, pergerakan angin yang menyokong, kestabilan udara serta tahap kelembapan tinggi diambil kira bagi memastikan keberkesanan operasi.

“Selain itu, potensi pembentukan awan kumulus menara yang mampu berkembang turut menjadi penentu kejayaan operasi ini bagi menghasilkan hujan di kawasan sasaran,” jelasnya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media berhubung Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang. Foto MOHD ADZLAN, 07 APRIL 2026.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, OPA itu menumpukan 11 empangan utama yang berada di tahap waspada, amaran dan kritikal di Perlis, Kedah, Perak dan Johor.

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) akan menggunakan sebanyak 200 kilogram garam yang dilarutkan dalam 1,500 liter air bagi satu tangki dalam operasi berkenaan.

“Sebanyak empat tangki bancuhan air garam dimasukkan ke dalam pesawat C-130 Hercules milik TUDM sebelum diterbangkan pada ketinggian antara 5,000 hingga 9,000 kaki untuk proses semburan ke dalam awan.

“Air garam ini akan membantu mempercepat pembentukan titisan air sehingga menghasilkan hujan yang kebiasaannya berlaku antara 30 hingga 60 minit selepas pembenihan dilakukan,” katanya.

Kakitangan Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) melakukan persediaan bagi menjalankan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang. Foto MOHD ADZLAN, 07 APRIL 2026.

Ahmad Zahid turut berkata, taburan hujan kini direkodkan antara 29.8 milimeter (mm) hingga 34.7mm di Perlis manakala di Kedah antara 9.3mm hingga 30.9mm dalam tempoh sama.

Menurutnya, laporan cerapan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut merekodkan hujan di stesen Pedu (13.5mm), Muda (6.0mm hingga 49.0mm) dan Ahning (2.0mm hingga 4.0mm).

“Ini menunjukkan keberkesanan operasi dalam keadaan atmosfera yang sesuai, bagaimanapun, kita akan lihat hingga 10 April ini daripada luruan angin dan juga haluan awan yang dibawa oleh angin itu.

“Ini kerana  kita mahu supaya hujan itu turun tepat atau berdekatan dengan empangan-empangan yang kita sasarkan,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast