Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Mantan Ketua Bahagian Bersatu Ipoh Timor menafikan kenyataan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan Bersatu Perak kononnya semakin kuat dan ampuh.

Mohd Fadhli Ismail berkata, Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Bersatu Perak itu satu kenyataan yang amat jauh daripada realiti sebenar di peringkat akar umbi.

“Sebagai mantan pemimpin yang memahami denyut nadi ahli di bawah, saya ingin menegaskan bahawa Bersatu Perak kini sedang berhadapan dengan krisis kepercayaan yang amat meruncing.

Kekuatan parti ini bukan sahaja goyah malah sedang mereput akibat rentetan pemecatan Ahli Parlimen dan ADUN di Perak yang sebelum ini menjadi tulang belakang kekuatan kita,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Fadhli Ismail

Menurutnya, antara fakta yang gagal didedahkan oleh Ahmad Faizal adalah sebanyak 10 Jawatankuasa Bahagian Bersatu di Perak kini sudah bubar.

“Ini bukanlah satu angka yang kecil atau remeh,” katanya.

Kedua, 10 bahagian yang terbubar ini melibatkan kawasan Parlimen yang mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan yang strategik.

“Bahagian-bahagian tersebut mewakili majoriti cawangan aktif di seluruh Negeri Perak. Apabila cawangan-cawangan ini tidak lagi berfungsi, di manakah logiknya dakwaan bahawa parti semakin kuat?” soalnya.

Realitinya, menurut Mohd Fadhli, barisan pemimpin utama Bersatu di Perak hari ini bukan wakil rakyat yang benar-benar cakna tentang kebajikan rakyat.

“Mereka bukan lagi pemimpin masyarakat yang dihormati, sebaliknya hanya memegang jawatan di atas kertas tanpa ada sokongan padu daripada massa,” katanya.

Ahmad Faizal yang dikenali nama Peja itu sendiri telah terbukti sebagai seorang pemimpin yang gagal, dakwanya.

“Kegagalan beliau mengawal krisis dalaman parti di Perak adalah bukti nyata ketidakupayaan beliau dalam mengemudi organisasi.

“Jika niat memimpin sudah tidak ikhlas dan hanya berlandaskan kepentingan tertentu, bagaimana mungkin Bersatu boleh menjadi kuat?” soalnya lagi.

“Saya ingin menasihatkan Ahmad Faizal supaya berhenti bermimpi di siang hari. Beliau seharusnya turun ke padang dan membantu rakyat yang sedang dalam kesukaran.

“Janganlah juga hanya menempel dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin demi menjaga kepentingan peribadi dan memastikan kekal relevan di dalam Bersatu,” ujarnya.

Menurutnya, jangan sesekali berlagak seperti burung kasawari sedangkan hakikatnya hanyalah burung pipit demi kelangsungan politik (political survival) dan kepentingan peribadi semata-mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast