Antara pelbagai bahagian hidupan liar bernilai RM36.8 juta yang dirampas di Taman Johor Jaya, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas pelbagai bahagian hidupan liar bernilai RM36.8 juta selepas menyerbu sebuah premis kediaman di Taman Johor Jaya di sini Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan 602 biji hempedu ular sawa, 420 biji hempedu beruang dan 107 ketulan mampat bahagian harimau.

Beliau memberitahu, ini termasuk 135 ketulan mampat bahagian primat dan 191 batang disyaki bahagian syawat ular sawa.

“Semua bahagian hidupan liar tersebut disita dan dibawa balik ke pejabat Jabatan Perhilitan Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya. Nilai sitaan semua barang kes dianggarkan RM36,842,325.00.

“Rumah berkenaan dihuni seorang lelaki warganegara Vietnam. Lelaki Vietnam tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen menyimpan yang sah daripada Jabatan Perhilitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu menyimpan bahagian hidupan liar tanpa kebenaran yang sah di bawah Seksyen 60 dan Seksyen 68.

Jika disabitkan kesalahan katanya, bagi hidupan liar yang dilindungi bawah Seksyen 60, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya bawah Seksyen 68 katanya, denda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak lebih tempoh tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sementara bagi bahagian hidupan liar disyaki spesies beruang dan harimau kesalahan di bawah Subseksyen 68(2)(c) memperuntukkan hukuman tidak kurang RM150,000 bagi setiap bahagian dan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Perhilitan memberi amaran kepada mana-mana individu yang menyimpan atau menjalankan aktiviti jenayah hidupan liar agar menghentikan aktiviti terbabit atau bakal berdepan tindakan undang-undang yang tegas.

Tambahnya, Perhilitan juga mengharapkan orang ramai akan terus memberikan sokongan dan membantu dengan menjadi mata dan telinga pihaknya melalui penyaluran maklumat dalam usaha memerangi jenayah hidupan liar.

Maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline Perhilitan1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam www.wildlife.gov.my. (SISPAA) di laman web.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast