Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Kritikan terbuka Datuk Seri Rafizi Ramli terhadap parti sendiri kini mengundang kegusaran apabila dilihat semakin menyerupai langkah politik yang pernah membawa kepada perpecahan besar PKR satu ketika dahulu.

Ketua Cabang PKR Pasir Mas, Mohd Izhan Ramli mendakwa, perkembangan tersebut menimbulkan persoalan serius dalam kalangan ahli parti yang tidak mahu sejarah pahit kembali berulang.

Menurutnya, Rafizi sebelum ini pernah berjanji di pentas konvensyen bahawa beliau bukan individu yang akan menikam dari belakang atau merosakkan parti dari dalam.

“Beliau (Rafizi) pernah menyatakan dirinya individu yang tidak akan merosakkan parti dari dalam. Bukan juga watak yang akan mengkhianati kepercayaan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, kata Mohd Izhan, perkembangan mutakhir memperlihatkan janji tersebut semakin pudar apabila kenyataan demi kenyataan dikeluarkan secara terbuka dengan nada yang disifatkan memperlekeh kepimpinan parti sendiri.

“Kata-kata itu semakin kedengaran kosong. Apabila kenyataan demi kenyataan dikeluarkan secara terbuka dengan nada yang memperlekeh dan menggugat kepimpinan parti sendiri, persoalannya bukan lagi tentang perbezaan pandangan tetapi arah yang sedang dipilih Rafizi,” katanya.

Mohd Izhan menegaskan, situasi itu mengingatkan ramai kepada episod lama melibatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bermula dengan kritik terbuka sebelum membawa kepada perpecahan besar dalam parti.

Untuk rekod, Mohamed Azmin yang ketika itu Timbalan Presiden PKR dipecat daripada parti pada 2020 susulan kemelut politik yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, sekali gus meninggalkan kesan mendalam terhadap perjalanan parti.

“Inilah corak yang pernah kita lihat sebelum ini pada Azmin Ali. Bermula dengan kritik terbuka, kemudian naratif mempersoalkan kepimpinan, akhirnya membawa kepada perpecahan yang memberi kesan besar kepada parti dan perjuangan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada parti sanggup berdepan sekali lagi dengan episod sama sehingga boleh menggugat kepercayaan ahli dan penyokong.

“Apakah kita mahu ulang sejarah yang sama? Jangan sampai sejarah menulis bahawa seorang lagi tokoh yang pernah diberi kepercayaan akhirnya memilih untuk menjadi pengkhianatan reformasi ‘Azmin Ali 2.0’,” katanya.

Tambahnya, perjuangan parti tidak boleh tunduk kepada mana-mana individu yang dilihat cuba mengubah haluan mengikut kepentingan politik jangka pendek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast