Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan beliau menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada pemilik NexG Bhd., Datuk Abu Hanifah Noordin bagi tujuan melanjutkan kontrak syarikat tersebut pada 2023.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, dakwaan yang dibuat sebuah blog tidak terkenal itu hanyalah tuduhan liar yang mana garis masa yang dinyatakan adalah tidak selari dengan realiti semasa pada ketika itu.

“Blog ini blog hantu tanpa nama dan dari gaya cerita, jelas bertujuan memfitnah saya. Cuma kalau orang ramai baca, dengan segala tuduhan, tidak ada satu pun yang menunjukkan perkara-perkara berikut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Rafizi, beliau tidak pernah berjumpa Abu Hanifah atau sesiapa dari NexG seumur hidupnya selain tidak kenal ‘watak utama’ pencitraan di dalam blog berkenaan iaitu Mohd Harizan Haris dari syarikat GFIS Sdn. Bhd.

Menurut blog berkenaan, Harizan didakwa sebagai individu yang rapat dengan Rafizi dan mengambil wang rasuah sebanyak setengah juta ringgit itu daripada NexG bagi pihak bekas Timbalan Presiden PKR itu.

Jelas Rafizi, beliau didakwa menerima rasuah RM500,000 pada Julai 2023 kononnya untuk membiayai pemilihan PKR pada 2025 sedangkan katanya, ketika itu ura-ura pemilihan PKR masih belum kedengaran.

“Kali pertama saya dengar namanya (Harizan) ialah pada 2 Disember 2025 dalam satu pertemuan dengan Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri.

“Dalam pertemuan itu, beliau memberi bayangan saya ada kes rasuah yang jika keluar akan malu besar.

“Saya tanya dia kes yang mana atau apa buktinya? Cerita inilah (rasuah daripada NexG) yang disebut, lalu ditunjukkan konon invois bayaran dari NexG kepada saya.

“Saya cakap: “mana ada orang bagi rasuah keluarkan resit? Itu tak cerdik namanya,” ujarnya lagi.

Katanya, dalam pertemuan itu juga beliau meminta agar siasatan dilakukan terhadap pihak yang terlibat seperti Harizan dan GFIS bagi memastikan dakwaan kebenaran dakwaan tersebut. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast